Majlis Penyerahan Bas Klinik Bergerak Fakulti Pergigian Dan Perubatan

SIMPANG RENGGAM, 27 Ogos 2022 – Jalinan kerjasama antara mantan Dekan Fakulti Pergigian dan Fakulti Perubatan iaitu Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ibrahim Abu Hassan dan Profesor Dr. Zamrin Dimon yang dimulakan tiga tahun yang lepas akhirnya membuahkan hasil dengan penyempurnaan Majlis Penyerahan Bas Klinik Kesihatan Bergerak kepada Fakulti Pergigian dan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hasil kerjasama yang julung kali diadakan dengan Yayasan Mohamed Noah ini bertujuan untuk memastikan penerimaan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada masyarakat setempat di Johor yang terdiri daripada golongan B40, khususnya yang tinggal di kawasan terpencil dan terbatas daripada mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan di negeri ini.




Majlis yang berlangsung di Dewan Muafakat Simpang Renggam disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Dato’ Ghazi. Menteri Besar juga memaklumkan, setakat ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Layang-layang menjadi projek rintis bagi perkhidmatan berkenaan yang akan bermula 1 September ini.




Majlis turut dihadiri oleh Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar mewakili UiTM yang merupakan wakil kepada Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM. Dalam ucapan aluan beliau, Profesor Dr. Hj Mohd Sazili turut memaklumkan bahawa dua buah Klinik Bergerak tersebut yang bernilai RM 1.9 juta ini dilengkapi dengan peralatan moden berteknologi tinggi, sesuai digunakan sebagai latihan awal untuk pelajar klinikal kedua-dua fakulti berkenaan. Beliau juga berterima kasih Dato’ Mohamed Nizam Tun Abdul Razak yang juga merupakan Pemegang Amanah Yayasan Mohamed Noah dalam menjayakan projek bersejarah ini.

Sumbangan dan jalinan kerjasama dengan Yayasan Noah ini diharap mampu meningkatkan tahap kesihatan serta kebajikan penduduk di Malaysia, khususnya di negeri Johor. Diharap kerjasama ini membuka ruang dan memberi peluang untuk staf akademik dan para pelajar UiTM meningkatkan kemahiran berinteraksi dan menyantuni serta boleh menambah nilai dalam proses pengajaran dan pembelajaran subjek klinikal di fakulti masing-masing. Usaha sama ini juga diharapkan akan menjadi pemangkin kepada kolaborasi berterusan yang seterusnya akan memberi impak berfaedah kepada kebajikan masyarakat serta pendidikan anak bangsa.

Contact Us

Faculty of Dentistry,
Universiti Teknologi MARA,
Sungai Buloh Campus, Selangor Branch,
47000, Jln Hospital, Sungai Buloh
Selangor, MALAYSIA
Phone  : +603-6126 6555 

Email   : korporatpergigian@uitm.edu.my  

 

Klinik Pergigian Jasmine Perdana (Puncak Perdana Campus)

Phone  : +603 7962 2400