Program “School Oral Health Project”

Program “School Oral Health Project”

SUNGAI BULOH- Setelah hampir dua tahun mahasiswa Fakulti Pergigian UiTM tidak berpeluang mengadakan program kesedaran kesihatan bersama murid sekolah akibat kekangan pandemik Covid 19, akhirnya mereka berpeluang melaksanakan program tersebut pada 23 Jun 2022 yang lalu.

Program tahunan kali ini diadakan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Az Zahidiah yang bertempat di Kampung Melayu, Batu 13, Sungai Buloh, Selangor, Malaysia.
 
 
Program selama setengah hari ini dianjurkan sepenuhnya oleh mahasiswa Tahun 4 Fakulti Pergigian, UiTM dan mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan SRA yang terlibat. Di bawah seliaan pensyarah dari Pusat Pengajian Kesihatan Pergigian Populasi dan Pencegahan Klinikal, program ini mempunyai objektif untuk meningkatkan keyakinan para pelajar dalam menganjurkan program komuniti, melatih semangat berkumpulan dan memberi pendedahan awal kepada mereka berkenaan peranan dan tanggungjawab dalam memberi pendidikan kesihatan pergigian terhadap semua golongan masyarakat. Selain dapat menjalinkan hubungan rapat dengan pihak sekolah, ia juga diharapkan dapat memberi impak kepada murid-murid sekolah dalam memupuk tabiat penjagaan kesihatan pergigian kendiri yang baik.
 
 
Program yang melibatkan 83 orang mahasiswa fakulti itu menyediakan 6 aktiviti yang direka khas untuk 204 peserta program yang terdiri daripada pelajar Tahun 4. Antara aktiviti yang disediakan adalah latihan memberus gigi, aktiviti Good Food vs Bad Food, aktiviti Role-play Doktor Gigi Muda, aktiviti Treasure Hunt dan aktiviti Jom Bersihkan Gigi. Aktiviti-aktiviti ini juga di rangka untuk menaikkan minat murid sekolah terhadap bidang pergigian seperti contoh melalui aktiviti role play di mana murid berpeluang menjadi doktor gigi, disamping aktiviti Jom Bersihkan Gigi di mana peralatan pergigian yang lazim digunakan di klinik turut diperkenalkan.

Terdapat juga pameran berkaitan kesihatan pergigian yang memaparkan informasi berkenaan had pengambilan gula seharian, masalah karies gigi, bahaya merokok di kalangan murid sekolah dan kandungan racun di dalam vape.

Mahasiswa juga turut menyediakan video pendek berdurasi 10 minit untuk tontonan para guru yang dimuat naik di saluran YouTube. Video berkenaan menerangkan mengenai keadaan gigi yang lazim dihadapi oleh murid sekolah seawal Tahun 1 hingga Tahun 6. Video tersebut juga turut menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya terdapat murid sekolah yang mempunyai kecederaan gigi seperti gigi yang terkeluar dari soket akibat terjatuh. Program tersebut juga dimeriahkan dengan maskot dinosaur, Doctor Gigisaurus yang turut meluangkan masa bersama murid-murid sekolah.

Program yang berakhir pada jam 5.30 petang itu dirasmikan oleh Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Madya Dr Aida Nur Ashikin Abd Rahman, dengan dihadiri oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SRA Az Zahidiah, Puan Siti Sohra Sulaiman. Murid-murid sekolah yang terlibat turut menerima hadiah dan cenderahati serta sijil di atas penyertaan mereka.

Contact Us

Faculty of Dentistry,
Universiti Teknologi MARA,
Sungai Buloh Campus, Selangor Branch,
47000, Jln Hospital, Sungai Buloh
Selangor, MALAYSIA
Phone  : +603-6126 6555 

Email   : korporatpergigian@uitm.edu.my  

 

Klinik Pergigian Jasmine Perdana (Puncak Perdana Campus)

Phone  : +603 7962 2400